Thursday, January 7, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Sembilan Zahir Asap Ke Dunia

Maka tatkala hampir masa hendak kiamat, keluar asap ke dalam dunia ini dengan memenuhi antara masyrik dan maghrib dan antara bumi dan langit selama 40 hari dan malam. Maka mengenai ia akan orang mukmin seperti tersumbat batang hidung; dan mengenai orang kafir seperti orang mabuk sebab penuh di dalam perut mereka itu dengan asap. Dan keluar ia daripada dua lubang hidungnya dan dua telinganya dan duburnya. Dan adalah bumi di masa itu yaitu seperti sebuah rumah yang dipasangkan api di dalamnya.

Wednesday, January 6, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Sepuluh Zahir Angin Sejuk

Maka melepas Allah Taa’la akan angin yang sejuk itu daripada pihak negeri Syam kemudian daripada mati Nabi Isa. Maka tidak tinggal di dalam muka bumi oleh seorang yang beriman; di dalam hatinya kadar setimbang zarah (sayap nyamuk) melainkan matilah ia, jikalau masuk seseorang itu ke dalam lubang bukit sekalipun. Maka tinggallah oleh orang yang sejahat-jahat manusia yang tidak mengetahui oleh mereka itu akan yang kebajikan dan tidak mengingkar mereka itu akan yang kejahatan. Maka menyerupai oleh syaitan akan rupa manusia, datang ia kepada mereka itu. Maka berkata ia : “Adakah tidak memperkatakan oleh sekalian kamu akan seruan aku?” Maka berkata mereka itu:”Apakah engkau hendak suruh akan kami? “ Maka berkata iblis itu: “Aku menyuruh sekalian kamu dengan menyembah berhala.” Maka menyembah mereka itu akan dia, hal keadaan mereka itu di dalam mewah rezeki mereka itu hingga ditiup sangkakala.

Tuesday, January 5, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Sebelas Diangkatkan Quran

Maka dikehendaki dengan diangkatkan Quran di akhir zaman kelak ialah diangkatkan sekalian lafaz-lafaz Quran yang ditulis itu (hanya tinggal kertas sahaja). Dan diperlukan akan Quran itu bagi mereka yang hafaz Quran. Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar bersabda Nabi Muhammad s.a.w : “Bahawasanya tiada berlaku kiamat melainkan apabila dikembalikan Quran ke tempatnya yang asal. Maka adalah Quran berderu-deru suaranya di sekeliling Arasy seperti berderu-deru suara lebah. Maka berfirman Allah S.W.T : “Apakah hal engkau hai Quran?” Maka berkata Quran itu: “Hal aku daripada engkau jua, yakni keluar dan kembali aku kepada engkau jua. Bahawasanya aku dibaca orang dan tiada diamalkan dengan daku. Ketika itulah diangkatkan aku kepada asalku.

Monday, January 4, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Dua Belas Banyak Harta

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w:"Tiada didirikan kiamat hingga banyak harta di dalam dunia ini sebagaimana awal dunia dahulu kala." Maka seorang lelaki telah membawa harta zakatnya hendak memberi kepada fakir miskin, tiada sesiapa pun yang menerimanya. Dan jadi Tanah Arab Hijaz yang telah biasa yang tidak naik tumbuh-tumbuhan melainkan sedikit sahaja. Maka jadilah pada akhir zaman banyak tumbuh-tumbuhan dan suburnya oleh sebab banyak sungai-sungai pada ketika itu. Dan banyak pula keluar khazanah bumi di zaman Imam Mahdi dan Nabi Isa. Dan diriwayat hadis daripada Bukhari dan Muslim:"Bahawasanya sedikit masa lagi akan zahirlah banyak harta dunia di Tanah Hijaz, yaitulah alamat hampir zahir Imam Mahdi." Dan diriwayat hadis yang lain:"Bahawasanya zahir Imam Mahdi memerangi ia akan kaum yang keluar daripada Ahli Sunnah Waljamaah di dalam negeri Turki, Arab dan Ijam."

Sunday, January 3, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Tiga Belas Kembali Manusia Pada Menyembah Berhala

Maka sekalian manusia pada masa itu (banyak harta), semuanya menyembah berhala sebagaimana orang yang dahulu kala kerana pada ketika itu menghasut oleh syaitan akan sekalian anak-anak Adam hingga menjadi sesat sekaliannya.

Saturday, January 2, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Empat Belas Masa Menjadi Pendek

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w :"Tiada berdiri kiamat hingga dipendekkan masa; setahun seumpama sebulan, sebulan seumpama seminggu, seminggu seumpama sehari, sehari seumpama satu jam, satu jam hanya sekadar menghangus oleh api sesuatu benda yang kering."

Friday, January 1, 2010

Alamat Kiamat Yang Ke Lima Belas Keluar Api Dari Negeri Idan

Maka keluar api daripada negeri Idan itu ialah alamat kiamat yang akhir sekali. Maka menghalau ia akan manusia kepada Mahsyar (Syam) kerana bumi Syam itu dijadikan padang Mahsyar pada hari kiamat kelak. Maka selepas itu, ditiup sangkakala yaitu pada pagi-pagi hari Jumaat, kemudian daripada mati Nabi Isa 120 tahun dengan diiktibarkan masa yang pendek. Adapun dengan diiktibarkan masa yang panjang (masa yang biasa) yaitu 12 tahun sahaja.